BENGKEL SPESIFIKASI MANUSKRIP 2017

Penghasilan dan penerbitan karya-karya ilmiah merupakan salah satu antara peranan penting yang menjadi fokus utama sesebuah Universiti Awam (UA) selain daripada Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta penyelidikan.

Sesebuah UA bukan hanya bertanggungjawab untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang, tetapi juga merupakan pemangkin dalam usaha melahirkan para sarjana yang menjadi pakar rujuk dalam bidang ilmu masing-masing.

Justeru, sebagai sebuah Pusat Tanggungjawab yang diberi amanah untuk membantu ahli akademik menerbitkan pelbagai karya ilmiah, Penerbit UniSZA mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan amanah tersebut.

Bengkel Spesifikasi Manuskrip telah dijalankan pada 11 Januari bagi membuka tirai tahun 2017. Bengkel yang diadakan di Dewan Auditorium Perpustakaan ini memfokuskan kepada 16 manuskrip dalam pelbagai bidang terutamanya undang-undang, pengajian Islam dan sains sosial.

bengkel spesifikasi manuskrip 2017Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Penerbitan UniSZA, Prof. Dr. Engku Ahmad Zaki Engku Alwi. Beliau banyak berkongsi pengalaman menghasilkan pelbagai jenis karya ilmiah bersama para penulis. Selain itu, tip-tip penulisan turut diberikan.

“Untuk menulis, penulis perlu mempunyai perancangan yang teliti dan penggunaan masa yang optimum. Tidak dinafikan, proses menulis agak sukar pada peringkat permulaan. Tetapi dengan praktis yang berterusan, lama-kelamaan kemahiran menulis dapat dikuasai dengan lebih baik.”

Para penulis diberikan taklimat dan bantuan secara langsung oleh kakitangan Penerbit UniSZA untuk mengemas kini manuskrip masing-masing. Selain itu, interaksi dua hala dengan pihak Penerbit banyak membantu para penulis mendapatkan maklumat-maklumat yang dapat membantu mereka menyiapkan manuskrip masing-masing.