BENGKEL TESIS KE BUKU

Bersesuaian dengan misinya untuk menerbitkan lebih banyak buku ilmiah, Penerbit UniSZA telah menganjurkan Bengkel Tesis Ke Buku 2015 pada 8-10 Jun 2015 di Hotel Tanjong Vista melibatkan 40 orang peserta dari dalam dan luar UniSZA.

 

Selain bertujuan untuk membimbing dan melatih para peserta untuk memindahkan tesis ke dalam bentuk manuskrip yang boleh diterbitkan, bengkel ini juga memberi panduan kepada peserta tentang prinsip kebolehterbitan dan kebolehpasaran tesis ke buku. Di samping itu, para peserta turut didedahkan dengan teknik memindahkan tesis kepada manuskrip yang sedia untuk diterbitkan. Bengkel ini dikendalikan oleh penceramah dan fasilitator yang kaya dengan pengalaman dalam bidang penulisan dan penerbitan karya ilmiah, iaitu Prof. Madya Dr. Hamedi Mohd Adnan dari Universiti Malaya.

Menerusi bengkel ini, para peserta berpeluang berkongsi ilmu berkaitan dengan penerbitan ilmiah melalui enam sesi ceramah iaitu Buku Ilmiah dan Penerbitan Ilmiah di Malaysia, Persamaan dan Perbezaan Tesis dengan Buku, Memahami Binaan Buku Ilmiah, Teknik Memindahkan Tesis ke Buku dan Isu-isu dalam Pemindahan Tesis ke Buku. Para peserta juga diberikan bimbingan secara hands-on untuk melakukan pemindahan daripada tesis kepada buku.

Penolong Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Razali Agus dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa penulisan buku ilmiah merupakan salah satu aktiviti penting dan menjadi keutamaan bagi sesebuah institusi pengajian tinggi kini. Oleh yang demikian, bagi memastikan aktiviti penulisan buku ilmiah giat dijalankan dalam kalangan warga akademik UniSZA, latihan dan bimbingan secara berterusan perlu dilaksanakan. Justeru, penganjuran bengkel ini dapat membantu peserta untuk mengetahui proses dan keperluan dalam mentransformasikan tesis ke buku ilmiah yang boleh diterbitkan.

Julung-julung kalinya, bengkel anjuran Penerbit UniSZA ini berjaya menarik perhatian daripada peserta luar UniSZA iaitu seramai 17 orang. Kesemua peserta luar yang menyertai bengkel kali ini terdiri daripada pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kolej Universiti TATI (TATIUC). Daripada bengkel ini, Penerbit UniSZA menyasarkan untuk memperoleh sehingga 20 manuskrip bagi diterbitkan. Para peserta perlu menghasilkan manuskrip masing-masing dan menyerahkannya kepada Penerbit UniSZA dalam tempoh yang ditetapkan.