Bengkel Monograf UniSZA 2014

Monograf adalah sebutan lain untuk buku, dan digunakan bagi membezakan terbitan tersebut dengan terbitan bersiri. Monograf mempunyai satu topik atau sejumlah topik yang berkaitan, dan biasanya ditulis oleh seorang pengarang. Selain itu, monograf merupakan terbitan tunggal yang lengkap dalam satu jilid dan tidak mempunyai siri ataupun sambungan. Monograf mempersembahkan perbincangan dalam skop yang kecil, khusus dan mendalam tentang sesuatu topik.

Sehubungan dengan itu, bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran dalam menghasilkan monograf, Penerbit UniSZA telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Bengkel Monograf pada 20 Ogos 2014, bertempat di Pusat Kesenian dan Warisan, UniSZA. Bengkel yang dihadiri oleh lebih kurang 35 peserta yang terdiri daripada ahli akademik UniSZA menggariskan tiga objektif. Pertama, untuk membimbing para peserta menghasilkan monograf yang boleh diterbitkan; kedua, untuk memberi panduan kepada peserta tentang prinsip kebolehterbitan laporan penyelidikan ke monograf; dan ketiga, untuk memberi panduan dalam penyediaan monograf yang sistematik dan menyeluruh.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengarah Penerbit UniSZA, Prof. Madya Dr. Kamarul Shukri Mat Teh memaklumkan bahawa, penganjuran bengkel ini adalah salah satu usaha untuk menyahut saranan Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Yahaya Ibrahim yang ingin melihat hasil penyelidikan ahli akademik UniSZA diterbitkan dalam bentuk buku.

Penceramah dan fasilitator jemputan dari Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Hamedi Mohd Adnan memberikan penerangan secara terperinci tentang pengenalan, ciri-ciri penting dan kaedah penerbitan monograf. Beliau memaklumkan bahawa, konsep monograf berbeza daripada buku terutamanya dari segi pasaran. Buku mampu berada dalam pasaran yang lebih luas, melibatkan rakan-rakan sebidang, pelajar dan orang awam, manakala monograf pula mempunyai pasaran yang lebih kecil yang hanya melibatkan rakan-rakan sebidang dan pelajar. Namun demikian, situasi ini bukan sesuatu yang pelik kerana skop perbincangan buku lebih luas berbanding skop perbincangan monograf.

Dalam bengkel ini, para peserta dilatih untuk mengembangkan Laporan Penyelidikan kepada monograf. Berdasarkan garis masa dan jadual gerak kerja yang diberikan, para peserta dikehendaki menyerahkan monograf yang dihasilkan kepada Penerbit UniSZA untuk diterbitkan.

Melalui usaha dan kerjasama daripada semua pihak, adalah bukan sesuatu yang mustahil, UniSZA bakal menghasilkan lebih banyak karya ilmiah yang berkualiti bagi meningkatkan imej dan peranan UniSZA sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang berwibawa.

|| Galeri Foto ||

 

Copyright © 2017 Penerbit UniSZA. All Rights Reserved.