Bengkel Penulisan Buku Ilmiah 2014

 

Selaras dengan salah satu objektif Penerbit UniSZA, iaitu untuk meningkatkan kemahiran penulisan ilmiah dalam kalangan warga UniSZA, maka satu inisiatif telah dilakukan dengan menganjurkan Bengkel Penulisan Buku Ilmiah pada 16-17 Disember 2014 di Prinz Park Resort, Kuala Terengganu. Bengkel yang dikendalikan sepenuhnya oleh Ketua Pegawai Penerbitan dari Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM), Puan ‘Awatif Ahmad disertai oleh 37 peserta dari sembilan fakulti.

Tiga objektif telah ditetapkan melalui penganjuran bengkel ini. Objektif pertama adalah untuk membimbing peserta menghasilkan buku ilmiah yang layak untuk diterbitkan, manakala objektif kedua pula adalah untuk memberikan panduan dan pemahaman tentang keperluan dan proses menghasilkan buku ilmiah. Selain itu, bengkel ini diadakan dengan tujuan untuk mendedahkan para peserta tentang dasar penerbitan dan garis panduan yang berkaitan dengannya.

Dalam ucapan aluannya, Timbalan Pengarah Penerbit UniSZA, Dr. Bahyah Abd Halim menekankan bahawa UniSZA perlu bergerak selari dan seiring dengan kehendak industri buku negara. Ini bermakna, UniSZA tidak boleh tertinggal di belakang institusi-institusi pengajian tinggi awam yang lain dalam menghasilkan buku-buku ilmiah. Beliau juga memetik ucapan Prof. Dato’ Wira Abdul Latiff Abu Bakar, Ketua Satu, Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) yang juga aktif dalam Majlis Profesor Negara yang menyatakan bahawa penulisan buku ilmiah dalam bahasa Melayu sewajarnya diberi markah yang lebih tinggi untuk proses kenaikan pangkat berbanding bahasa lain.

Melalui bengkel ini, Puan ‘Awatif menghuraikan secara terperinci tentang ciri-ciri karya ilmiah meliputi kategori karya ilmiah, anatomi buku, penghasilan buku ilmiah yang berkualiti, teknik menulis, proses penyediaan indeks dan teknik menghasilkan blurb. Berdasarkan perbincangan tersebut, para peserta dikehendaki untuk membedah manuskrip masing-masing dan menyediakan cadangan struktur buku yang akan dihasilkan.

Sebanyak 19 manuskrip telah dibentangkan oleh para peserta sama ada secara individu atau berkumpulan. Hasil perbincangan dengan para peserta, Penerbit UniSZA menetapkan tempoh selama sebulan untuk para peserta menyerahkan manuskrip yang lengkap untuk proses penerbitan.

|| Galeri Foto ||

Copyright © 2017 Penerbit UniSZA. All Rights Reserved.