Anugerah Buku UnisZA 2015

Antara anugerah yang disampaikan dalam Majlis Syarahan Tahunan Naib Canselor dan Penganugerahan Kecemerlangan UniSZA 2015 ialah Anugerah Buku UniSZA. Majlis yang diadakan pada 31 Mac 2015 di Dewan Gymnasium, UniSZA ini menyaksikan dua anugerah diperkenalkan iaitu Anugerah Royalti Buku Tertinggi dan Anugerah Royalti Terbitan PdP Tertinggi. Kesemua buku terbitan Penerbit UniSZA adalah layak untuk memenangi anugerah tersebut. Penerima anugerah membawa pulang sebuah trofi, wang tunai dan sijil penghargaan. Kesemua anugerah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniSZA, Prof. Dr. Mahadzirah binti Mohamad.

Buku Birds of UniSZA yang ditulis oleh Cornelius Anuar Abdullah McAfee mendapat tempat pertama bagi kategori Anugerah Royalti Buku Tertinggi. Ini diikuti oleh buku Dinamika Pendidikan Bahasa Arab suntingan Dr. Zulazhan Ab. Halim, Mohd Shahrizal Nasir dan Dr. Nurazan Mohmad Rouyan. Sementara itu, buku karangan Prof. Dr. Kamaruddin Said iaitu Kesedaran Sejarah, Transformasi Sosio-Ekonomi dan Kelakuan Politik Masyarakat Melayu Malaysia mendapat tempat ketiga.

Bagi Anugerah Royalti Terbitan PdP Tertinggi, tempat pertama jatuh kepada buku Al-Mursyid fi Ta'allum al-Lughah al-Arabiyyah karya Norhayati Che Hat, Siti Salwa Mohd Noor, Mohd Ala-Uddin Othman dan Mohd Fauzi Abdul Hamid. Tempat kedua pula dimenangi oleh buku Al-Qadaya al-Fiqhiyyah al-Mu’asarah hasil tulisan Prof. Madya Dr. Basri Ibrahim. Seterusnya, tempat ketiga pula diterima oleh Siti Salwa Mohd Noor, Mohd Ala-Uddin Othman, Norasyikin Osman dan Khoirun Nisak Mat Saad menerusi buku Al-Mu'in fi Ta'allum al-Lughah al-'Arabiyyah.

Anugerah seumpama ini merupakan antara bentuk penghargaan ke atas kecemerlangan warga akademik UniSZA yang bertungkus-lumus menulis dan menerbitkan buku bersama Penerbit UniSZA, serta berusaha gigih memasarkan buku tersebut. Selain daripada memotivasikan penulis, ia mampu menggalakkan staf akademik UniSZA yang lain untuk turut berkarya menghasilkan buku ilmiah.

Copyright © 2017 Penerbit UniSZA. All Rights Reserved.