Diskusi Bersama Perpustakaan Negara Malaysia

Kunjungan wakil Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) ke Penerbit UniSZA pada 28 Mei 2015 merupakan satu titik penting dalam usaha meningkatkan kerjasama antara kedua-dua buah institusi. PNM diwakili oleh dua orang Penolong Pengarah Pusat Penyerahan Terbitan Negara (PPTN) iaitu Puan Nor Azlin Sahamed dan Puan Suriyawani Sulaiman. Sesi diskusi ini telah dijalankan di Bilik Mesyuarat Penerbit UniSZA.

Tujuan utama kunjungan PNM adalah untuk memberi taklimat khas tentang Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331). Melalui akta ini, bahan terbitan dalam negara wajib diserahkan kepada PNM melalui PPTN. Seksyen 4(1) memperuntukkan supaya lima naskhah bahan bercetak diserahkan dalam masa sebulan dari tarikh penerbitannya untuk buku dan seminggu bagi terbitan bersiri. Seksyen 4 (2) pula memperuntukkan supaya dua naskhah bahan tidak bercetak diserahkan dalam masa setahun dari tarikh penerbitannya. Kegagalan penyerahan bahan seperti yang diperuntukkan dalam kedua-dua akta tersebut membolehkan penerbit didenda tidak melebihi RM3,000 jika sabit dengan kesalahan.

Bahan-bahan yang diterima akan dijadikan sebagai Koleksi Negara yang berupaya mencerminkan warisan intelek, kesusasteraan, kebudayaan serta ilmu dan kebijaksanaan manusia. Konsep penyerahan secara undang-undang telah diamalkan sejak dahulu lagi melalui Straits Settlements Book Ordinance 1886, FMS Book Enactment (F.M.S. Cap 90) 1916, Preservation of Books Ordinance 1950 dan Akta Pemeliharaan Buku 1966.

Selain akta, perbincangan juga menumpukan kepada peraturan dan proses permohonan International Standard Book Number (ISBN), International Standard Serial Number (ISSN) dan Pengkatalogan dalam Penerbitan (PDP).

Diskusi ini juga merupakan pemangkin kepada perluasan jaringan dan kerjasama antara Penerbit UniSZA dan PNM.

 
|| Galeri Foto ||

Copyright © 2017 Penerbit UniSZA. All Rights Reserved.