Seminar Sitasi dan Hak Cipta Penerbitan 2017

photo 2017-03-15 10-13-14 photo 2017-03-15 10-13-21

Penerbitan karya ilmiah amat berkait rapat dengan isu-isu sitasi dan hak cipta yang memberi kesan besar kepada penarafan sesebuah universiti. Ini kerana ia merupakan penentu kepada kewibawaan dan keyakinan masyarakat sejagat terhadap sesebuah universiti. Justeru, perolehan maklumat dan kefahaman mendalam mengenainya adalah mandatori. Menyedari kepentingan ini, Penerbit UniSZA telah menganjurkan Seminar Sitasi dan Hak Cipta Penerbitan 2017 pada 12 Mac.

Seminar yang diadakan di Dewan Perdana ini telah dirasmikan oleh Penolong Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Afandi Muhamad. Beliau dalam ucapan perasmiannya menekankan bahawa penerbitan ilmiah bukan sahaja wadah penyebaran ilmu yang sangat penting, tetapi juga merupakan batu loncatan untuk kemajuan kerjaya seseorang ahli akademik.

Ceramah tentang sitasi disampaikan oleh Pengarah Pusat Sitasi Malaysia (PSM), Prof. Madya Dr. Zuraidah Abd. Manaf. Beliau yang merupakan pakar dalam bidang tersebut berkongsi maklumat tentang pengurusan jurnal dan pengindeksan serta impak faktor dan sitasi. Antara faktor penting yang menyumbang kepada keternampakan akademik ini ialah sitasi dan impak faktor. Betapa bagus sekalipun sesebuah tulisan itu, namun ia tidak bermakna andainya tidak dirujuk atau dipetik. Ini kerana ia berkait rapat dengan penyebaran, ketercapaian dan pengiktirafan kerja-kerja kesarjanaan yang dihasilkan oleh ahli-ahli akademik.

Ceramah tentang hak cipta penerbitan pula disampaikan oleh Pengarah Copyright and Layout Designs of Integrated Circuit Division dari Perbadanan Harta Intelek Malaysia, En. Mohamed Fairuz Mohd. Pilus. Menurut beliau, harta intelek adalah sesuatu penghasilan daripada kreativiti minda atau intelektual manusia; perekaciptaan; karya sastera; karya seni dan karya muzik; simbol imej dan reka bentuk yang digunakan dalam perdagangan. Hak cipta pula adalah hak ekslusif yang diberikan oleh undang-undang kepada pemilik karya bagi satu tempoh tertentu dan hak ini merujuk kepada hak bagi mengawal sesuatu karya.

Penganjuran seminar ini mendapat maklum balas positif daripada para peserta yang hadir. Banyak maklumat-maklumat baharu yang diperoleh hasil daripada kedua-dua ceramah berkenaan.

Copyright © 2017 Penerbit UniSZA. All Rights Reserved.