TERAPI GANTIAN METADON UNTUK PENAGIHAN DADAH

PENULIS: Lua Pei Lin, Nor Samira Talib
ISBN: 978-983-9842-58-6
HARGA: RM30.00
TAHUN: 2012


Masalah penagihan dadah telah lama bertapak di Malaysia dan program-program pemulihan telah menjadi perintis rawatan yang utama. Namun setelah lebih 30 tahun dilaksanakan, gejala dadah kekal berleluasa dengan peningkatan kadar relaps melebihi 5000 kes setiap tahun (2000-2010). Impak negatif fenomena ini terhadap kehidupan manusia memang tidak mampu disangkal lagi. Usaha-usaha membendung penularannya pula ternyata sukar dengan kemunculan dadah-dadah sintetik yang semakin digemari kini. Sehubungan itu, dalam meniti perkembangan perubatan moden terkini, muncullah terapi gantian metadon (TGM) pada era 60-an. Keserasian ciri-ciri farmakologinya beserta kesan-kesan sampingan yang minimal telah menempatkan TGM sebagai antara rawatan penagihan dadah yang paling berjaya diamalkan sehingga ke hari ini di negara-negara barat. Justeru itu kerajaan Malaysia akhirnya mula menawarkan TGM pada penghujung tahun 2005 kepada para penagih secara sukarela. Meskipun kejayaan TGM telah banyak terbukti di negara-negara lain, dapatan kajian dan tinjauan terhadap keberkesanannya dalam masyarakat tempatan masih kurang menyeluruh. Lantas buku ini bertujuan mengupas dan membincangkan secara khusus impak TGM dari sudut klinikal, ekonomi dan holistik setelah lima tahun diamalkan di Malaysia. Kandungannya turut memuatkan sejarah dan masalah dadah serantau yang membawa kepada evolusi rawatan-rawatan penagihan di dalam dan luar negara.