Kata Aluan Pengarah

 

Dr Wan

Assalamu’alaikum wbth. dan Salam Sejahtera 

Sebagai pembuka bicara, saya merafakkan syukur ke hadrat Allah s.w.t. di atas segala nikmat dan hidayah yang diberikan kepada kita semua. Selawat dan salam ke atas penghulu sekalian nabi dan rasul, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Penerbit Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merupakan sebuah pusat tanggungjawab yang berperanan menerbitkan bahan-bahan ilmiah hasil daripada sumbangan kepakaran tenaga akademiknya.

Sesungguhnya, budaya penerbitan di sesebuah pusat pengajian tinggi perlu diperkasa seiring dengan perkembangan yang berlaku. Ia bukan sahaja dapat meningkatkan kemasyhuran universiti ke serata dunia, malah apa yang penting ialah menyebarkan ilmu untuk dimanfaatkan oleh semua. Keberadaan sesebuah pusat penerbitan di universiti amat penting bagi melestarikan percambahan idea melalui bahan-bahan yang diterbitkan. Justeru, Penerbit UniSZA amat komited untuk menambahkan lagi koleksi penerbitannya demi menjadikan universiti ini terkenal dengan bahan-bahan ilmiah berkualiti tinggi.

Menyedari hakikat perubahan iklim penerbitan yang sentiasa mengikut arus terkini, Penerbit UniSZA sentiasa melakukan transformasi dari aspek pentadbiran dan pengurusan penerbitan agar ia berjaya mengharungi cabaran yang kian hebat. Dengan hubungan yang akrab dan kerjasama yang dinamik dalam kalangan kakitangannya, saya berkeyakinan Penerbit UniSZA akan terus cemerlang pada masa akan datang. Akhir kalam, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terus menyokong usaha-usaha yang dilakukan demi memartabatkan penerbitan ilmiah di negara ini.