LATAR BELAKANG

Latar Belakang

Sejak Julai 2007 hingga awal tahun 2009, kegiatan penerbitan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ditempatkan di Pusat Penyelidikan dan Inovasi. Mulai awal tahun 2009, Pusat Penerbitan ditubuhkan sebagai pusat tanggungjawab tersendiri bagi mengendalikan program penerbitan ilmiah universiti. Di bawah gagasan transformasi yang diperkenalkan oleh pengurusan tertinggi universiti, ia dijenamakan semula pada awal tahun 2013 dan dinamakan sebagai Penerbit UniSZA.

Hasrat untuk menggerakkan Penerbit UniSZA secara berstruktur, sistematik dan efektif telah membawa kepada penubuhan beberapa unit di bawahnya. Antaranya unit pentadbiran, perolehan-editorial, pengeluaran dan pemasaran. Pembinaan kemahiran multi-tasking yang berteraskan semangat kekeluargaan dalam kalangan staf telah menjadi teras kekuatan yang membolehkan Penerbit UniSZA bergerak ke hadapan secara dinamis bagi menghasilkan dan menyebarkan pelbagai karya ilmiah bermutu lagi berdampak. Selain daripada itu, Penerbit UniSZA terus komited dan konsisten dalam mempromosi ‘UniSZA is everywhere’ melalui penerbitan Buletin UniSZA sebanyak tiga keluaran setahun.

Kini, prestasi Penerbit UniSZA adalah sangat membanggakan. Graf penerbitan buku ilmiah dan penjanaan hasil menunjukkan peningkatan yang mendadak. Jaringan kerja dengan penggiat industri buku terutamanya yang berada di bawah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) semakin meluas dan mantap. Garapan kesemua elemen ini merupakan pemangkin ke arah menjadikan Penerbit UniSZA sebagai penyumbang korpus ilmu yang berdedikasi lagi berwibawa.